Berlian, nilam, delima, zamrud – batu terunggul dan paling berharga dipilih untuk menghiasi jam tangan Rolex. Jenama ini memiliki kepakaran dalaman dan peralatan yang membolehkan kerja memperindah mana-mana model dalam katalognya. Mula-mula, ahli gemologi yang berpengalaman memilih batu permata yang berkualiti tinggi. Untuk ini, mereka boleh bergantung pada pertimbangan mereka sendiri yang berpengalaman serta peralatan analisis yang terkini. Batu-batu itu kemudiannya diserahkan kepada penghias permata, yang meletakkan setiap batu berharga dengan teliti pada jam tangan secara manual, satu demi satu, bagi memastikan ketepatan dalam seperseratus milimeter. Toleransi yang ketat itu menjamin bahawa setiap batu bersinar dengan kecerahan optimum dan serasi dengan hiasan lain yang berhampiran. Ketelitian yang memakan masa ini, yang mungkin diulang ratusan kali, memastikan setiap jam tangan bertatahkan permata yang dihasilkan oleh Rolex bergemerlapan dengan keamatan yang luar biasa dan mencerminkan standard kecemerlangan yang diperlukan oleh jenama.
Bezel bertatahkan berlian
Pengeset permata dengan halus mengukir logam berharga dengan tangan agar setiap batu permata terbenam dengan sempurna. Dengan seni dan kraf seorang pembuat barang kemas, batu itu diletakkan dengan cermat sejajar dengan batu yang lain, kemudian diletakkan semula berhati-hati dalam tetapan emas atau platinum. Selain daripada kualiti intrinsik batu-batu itu, beberapa kriteria lain juga turut menyumbang kepada keindahan penetapan permata Rolex: penjajaran tepat untuk ketinggian permata tersebut, orientasi dan posisi, ketetapan, kekuatan dan pembahagian penetapan serta kemasan yang rumit pada kerja logam. Satu simfoni kilauan untuk meningkatkan jam tangan dan pesona si pemakai.
Dengan mengendalikan faundri eksklusif milik sendiri, Rolex mempunyai keupayaan yang tiada tandingan untuk menghasilkan aloi emas 18 karat yang berkualiti tinggi. Mengikut bahagian yang terdapat pada perak, tembaga, platinum atau paladium tambahan, beberapa jenis emas 18 karat boleh dihasilkan: kuning, merah jambu atau putih. Mereka diperbuat hanya daripada logam yang paling tulen dan diperiksa dengan teliti di makmal dalaman dengan menggunakan kelengkapan yang paling canggih. Komitmen kecemerlangan Rolex bermula daripada sumbernya.